Info Sekolah



LATAR BELAKANG SEJARAH SEKOLAH
           
Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melantik Saadon Architect dan beberapa syarikat konsultan lain untuk menjalankan kerja-kerja rekabentuk sehingga kepada peringkat pembinaan SMK Bandar UDA Utama.  Ia mula dibina pada 6 April 2009 dan telah siap mengikut kontrak selama 72 minggu pada 23 Ogos 2010 dengan jumlah kontrak sebanyak RM20,000,000.00
 SMK Bandar UDA Utama telah diserahkan secara rasmi pada 20 November 2012 oleh pihak Jabatan Pelajaran Negeri Johor. Sekolah ini mempunyai pentadbiran sendiri yang lengkap apabila pengetua pertama, Encik Zainal Bin Buang mula bertugas di sekolah ini pada 30 Disember 2012. Sebelum ini, sekolah ini telah dikelolakan oleh Encik Rosnin Bin Selan, Penolong Kanan Petang SMK Bandar Baru UDA sebagai penyelaras yang dilantik oleh pihak PPD Johor Bahru bermula pada 16 November 2011.
Lokasi sekolah ini terletak di dalam kawasan perumahan Bandar UDA Utama, Johor Bahru, Johor di atas lot PTD 116749, Jalan UDA Utama 1, Mukim Pulai, Daerah Johor Bahru dengan keluasan tapak 3.6451 hektar. Kemudahan fizikal terdiri daripada 1 Blok pentadbiran yang menempatkan Pejabat Pengurusan Sekolah, Bilik Guru dan Pusat Sumber sekolah, Blok A, Blok B dan Blok C yang menempatkan 24 bilik darjah, 6 makmal sains dan sebuah surau. Manakala satu blok  yang menempatkan bengkel-bengkel mata pelajaran Kemahiran Hidup, Makmal Bahasa, Makmal Komputer, Studio Seni dan Bilik Muzik berada di Blok D. Kemudahan fizikal yang lain termasuk 1 blok kantin dan padang serbaguna.
Pada awal pembukaannya pada 1 Januari 2013, sekolah ini terdiri daripada 615 orang pelajar, 26 orang guru dan 5 orang kakitangan sokongan yang terdiri daripada seorang pembantu am rendah, seorang pembantu tadbir dan 3 orang pembantu makmal.




LENCANA SEKOLAH
  
            Warna Magenta  
Merupakan warna identiti sekolah yang melambangkan keberanian, kegigihan dan usaha seluruh warga sekolah untuk mencipta kejayaan dalam semua lapangan bidang akademik mahupun kokurikulum.


          Warna Ungu  
Melambangkan rasa kesanjungan / cinta dan sayang seluruh warga sekolah terhadap sekolah ini sebagai institusi pendidikan. 
Warna Kuning Muda 
          
Melambangkan ketaatan kepada Tuhan, Raja dan Negara.


Warna Putih

Melambangkan kesucian dan keikhlasan warga sekolah ini dalam mendukung visi serta misi sekolah pada setiap masa.           
                  
                                         
Reka bentuk 

Lambang sekolah berasaskan reka bentuk simbol ‘Q’ yang bermaksud pendidikan berkualiti. Reben yang melingkari sekeliling lencana bermaksud jalur kejayaan setiap bidang yang diceburi dan sentiasa maju ke hadapan sehingga ke garisan penamat untuk menempa kejayaan yang gemilang yang mana tertera nama sekolah SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN BANDAR UDA UTAMA.
Burung Helang pula bermaksud kegagahan, kewibawaan dan ketangkasan dalam setiap pergerakan atau perbuatan. Ia juga sebagai simbol keberanian dalam menempuh cabaran yang dihadapi bagi mencapai kesempurnaan hidup. Simbol tetikus & atom membawa maksud kemajuan bidang Sains dan Teknologi serta ICT pada era globalisasi yang membolehkan pemerolehan ilmu oleh warga sekolah tanpa batasan lantaran konsep dunia tanpa sempadan masakini. 
Topi ijazah dan bulatan Olimpik bermaksud kecemerlangan yang mampu digapai pelajar dalam bidang akademik yang sentiasa seiring dengan kecemerlangan dalam bidang kokurikulum.
5 Jalur pelepah berwarna magenta menggambarkan penghayatan Rukun Islam secara khusus dan Rukun Negara secara amnya yang menjadi panduan dan pedoman setiap guru dan pelajar. Manakala 3 jalur pelepah berwarna ungu membawa maksud sekolah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang tetapi mampu mencurahkan dan menimba ilmu secara bersepadu.
Logo SMK Bandar UDA Utama ini telah dihasilkan oleh Penolong Kanan Pentadbiran, En Rosnin Bin Selan manakala deskripsi logo merupakan hasil terjemahan bersama Penolong Kanan Pentadbiran, En Rosnin Bin Selan dan Guru Media, Pn Hanimah Bt Wahari.

Lokasi Sekolah